Main image Main image

PROFILE PERGURUAN SENI PENCAK SILAT GERAK 41


PENDAHULUAN

Kegiatan Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 sebenarnya sudah bermula sejak tahun 1981, kemudian diterima secara rasmi sebagai ahli bergabung PERSIB pada 30hb. Mei, 1988. Pada tahun 1995, PSPSG41 mengadakan Mesyuarat Agung yang pertama seterusnya mengesahkan dan menguatkuasakan perlembagaan PSPSG41 pada 29hb. Januari, 1995. Sejak itu kegiatan PSPSG41 semakin terancang dan tersusun rapi berdasarkan objektif perguruan yang digariskan dalam perlembagaan iaitu:


  1. Mengetengahkan kekayaan dan kelainan aliran Pencak Silat Brunei Darussalam (Cakak) dan Pencak Silat Gerak 41.
  2. Menjambatani masyarakat kepada Pencak Silat dan memotivasi generasi muda khususnya, untuk mendekati, mempelajari dan mendalami Pencak Silat.
  3. Memartabatkan Pencak Silat ke tahap yang lebih unggul, ilmiah dan disenangi dengan segala kekhususannya dan keunikannya yang menjurus kepada pemurnian.
  4. Memanfaatkan disiplin Pencak Silat sebagai wahana pengisian insan dan wadah kreatif penyaluran ilmu serta nilai-nilai murni.
  5. Menggunakan Pencak Silat sebagai salah satu media untuk menzahirkan falsafah Melayu Islam Beraja.
  6. Menampilkan Pencak Silat sebagai salah satu komponen aktif dalam proses pembangunan agama, bangsa dan negara.

LAMBANG G41

Rupa Bentuk

pic name
Logo perguruan adalah bermotif utap yang ditunjangi oleh sebatang dian yang menyala. Di depan utap terdapat sepasang pedang bersilang. Objek-objek dilatarbelakangi dengan warna kuning. Warna pedang ialah hitam, manakala utap pula berwarna gadung, dan dian berwarna putih dengan nyalaan api berwarna merah.
Tafsiran mengenai lambang.

Bentuk utap
melambangkan bahawa PSPSG41 ialah sebuah organisasi persilatan.
Dian Sepucuk juga melambangkan pembawaan yang dinamik dan proaktif. Perguruan tidak sekadar mengembangkan aspek fizikal, tetapi juga mental, spiritual dan emosional.
Pedang hitam bersilang sebagai alat keperkasaan diri melambangkan keilmuan dan kecapaian tertinggi di dalam perguruan, namun tetap ditaruh secara bersilang yang membawa erti menahan diri seperti yang digambarkan oleh pepatah Melayu - “Ikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk” (semakin berilmu semakin merendah diri).

Terdapat pula erti lapisan kedua yang terkandung dalam logo PSPSG41. Kedua-dua pedang bersilang di bahagian tengah melambangkan pemberitahuan tidak boleh dimasuki secara sembarangan. Kedudukan pedang bersilang dengan ulunya yang dijalin dengan kata “GERAK 41” seakan-akan membentuk huruf (Lam-Alif) adalah singkatan kalimah Allah melambangkan kekuasaan Mutlaq Maha Perkasa yang melindungi dan memayungi segala ungkayah murni perguruan.

Warna-warna kuning, putih, hijau, hitam dan merah adalah pernyataan PSPSG41 yang menjulang tinggi falsafah negara Melayu Islam Beraja.



DASAR

Pencak Silat sebagai sistem bela diri purih bangsa Brunei yang kebetulan didominasi oleh aliran cakak bukan sekadar item warisan seni budaya, tetapi merupakan tradisi ulung nenek moyang yang sarat dengan nilai-nilai keilmuan akal budi dan kemurnian budi daya. Dengan rangkuman pengembangan aspek-aspek fizikal, mental, spiritual dan emosional ditambah lagi kualiti nilai-nilai etik, teknik, estetik dan atletik menjadikan Pencak Silat sebagai suatu bahan yang cukup bermanfaat untuk diteruskan dan dikembangkan. Atas rasional ini dan takaduhung menapak serta memacaki gelanggang, dengan tawakkal kepada Allah Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 insyaAllah akan meneruskan gerakan pewarisan dan pembudayaan Pencak Silat sebagai salah satu wahana pengisian jelama Brunei Darussalam dengan mengutamakan calak dan identiti keBruneian, sesuai dengan falsafah Melayu Islam Beraja.


FALSAFAH

Motto Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 ialah;

Paksi:
MELANGKAH SAMA SEGURU MENAPIS SAMA SEIRAMA EMPAT GERAK BERSATU SATU RASA BERSAMA.
Inti: MENGGILAP KURSANI SERAMPANG CAHAYA MENGANGKAT SENI BUDAYA BANGSA.
Visi: MEMARTABATKAN PENCAK SILAT BRUNEI DARUSSALAM
Misi: AKU TETAP AKU: HIDUP DENGAN KESEMPURNAAN HIDUP

RSS Feed